Akan datang: Junior Masterchef Malaysia

Hamzah memang sungguh-sungguh benar hendak jadi orang masak. Bukan orang minyak ya, orang masak atau pun chef. Dulu memang salah description tapi sekarang sudah diperbetulkan.

🙂

Selain daripada meminta saya membuat kek setiap hari tanpa jemu, dia juga suka benar menonton AFC. Rancangan masak-masak katanya. Cumanya kami tidak melanggan Starworld jadi tidak dapatlah dia menonton Junior Masterchef. Jika tidak, saya pasti keinginan untuk memasak dan membantu saya di dapur akan jadi lebih membuak-buak.

Permainan peralatan masakan yang saya belikan untuk Sawda pun lebih kerap dimain oleh Hamzah berbanding tuan punya mainan. Selalunya, apa yang dia akan buat adalah menyusun peralatan dapur tersebut. Di atas meja, di atas katil, di lantai, di mana-mana sahaja.

Apapun, yang saya perhatikan, jika dia mula menyusun, semua peralatan mesti lengkap. Seolahnya ada satu senarai peralatan dapur yang diperlukan olehnya.Agaknya orang lelaki kalau jadi Chef memang begitu. Agak teliti dan mementingkan kesempurnaan. Lihat sahajalah chef-chef di Malaysa, Chef Wan, Chef Ismail, Chef Sabri.

laci dapur hamzah

Pinggan, mangkuk, sudu, garfu, cawan, dapur, periuk semua ada. Dan seringkali juga saya tengok akan ada beberapa buah buku diantara perkakasan dan peralatan dapur tersebut. Saya tidak pula pernah bertanya untuk apa buku itu.

Suatu hari, saya sedang solat dalam bilik. Hamzah seperti biasa sedang sibuk menyusun dapurnya. Datang Umar dan dia pun bertanya (ya, tak khusyuk jadinya solat saya terdengar budak-budak ni bercakap-cakap pula), “Buku ni untuk apa Hamzah?”

Hamzah pun jawab, “itu buku masak-masak. Nak masak nanti tengok buku.”

LOL.

Hendak tergelak pun ada. Itulah dia anak saya. Sah, terbukti betul anak saya.

Mana ada ibu lain yang ada simpan buku dalam dapur? Setiap kali hendak masak terpaksa rujuk buku resepi?

Bak kata suami saya, “kalau internet tak ada, masakan awak tak jadi”.

Hahaha, setaraf tak dengan lawak Maharaja Lawak?

😉